MEH lancar program Sekuriti Makanan Halal, jamin rantaian ekosistem industri pasaran makanan halal.

Majlis Ekonomi Halal (MEH) melancarkan program Sekuriti Makanan Halal dan Konsortium Projek Ladang Halal untuk menjamin rantaian ekosistem industri pasaran makanan halal.

Pengerusi Lembaga Penasihat MEH Tan Sri Syed Hamid Albar berkata isu keselamatan makanan terutamanya makanan halal memerlukan mekanisme khusus dalam usaha menyokong Dasar Halal Negara untuk kepentingan umat Islam.

“Sekuriti makanan tidak bersifat teori, sebaliknya merupakan masalah yang nyata kepada dunia hari ini dan akan datang. Kita mengimport makanan bernilai hampir RM100 juta selain berdepan masalah kartel, daging dengan status halal yang meragukan dan peningkatan harga bahan makanan.

“Dengan adanya program ini, kita mahu memastikan hanya bekalan makanan halal  memasuki pasaran selain menjadikan umat Islam sebagai pengeluar dan pembekal makanan halal,” katanya kepada Bernama pada majlis pelancaran program berkenaan di sini semalam.

Ia diadakan bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan AgroPelancongan Malaysia (MAHA) 2022 bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ yang diadakan secara hibrid sehingga 14 Ogos ini di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata Konsortium Projek Ladang Halal akan menggabungkan peserta sektor halal daripada entiti swasta dan badan bukan kerajaan.

“Kita telah mengenal pasti bank tanah seluas 2,023.42 hektar untuk dibangunkan, meliputi tanah-tanah wakaf, tanah adat dan tanah kerajaan yang terbiar serta ladang-ladang sedia.

“Terdapat juga tanah milik Kementerian Pertahanan yang akan dibangunkan dengan Projek Ladang Halal Veteran. Ini akan diusahakan dengan veteran tentera, sekali gus melahirkan usahawan tani daripada golongan veteran,” menurutnya.

MEH turut melancarkan platform e-dagang myhalalshoppe.com dan e-directory halal yang berperanan sebagai pasaran untuk merancakkan interaksi dan transaksi dalam kalangan usahawan dan pengguna halal.

Pada majlis pelancaran itu, MEH turut menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMUC) dengan menubuhkan Sekretariat Ekonomi Halal untuk melahirkan lebih ramai usahawan halal terutamanya daripada kalangan pelajar dan keluarga.

Selain itu, KLMUC akan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) termasuk menyediakan data yang diperlukan bagi program Sekuriti Makanan Halal.

Sumber: BERNAMA

Artikel Asal: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2109312

    wpChatIcon